Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad (‘KOPERASI IMAN’) telah diperbadankan pada 21hb Julai, 1981 dengan Modal syer sebanyak RM27,244.00 dengan keanggotaan seramai 272 orang.
Pada peringkat awal penubuhan, Koperasi Iman menjalankan aktiviti dalam perniagaan ‘trading’ secara kecil-kecilan dan runcitan. Kemudian aktiviti tersebut telah dipertingkatkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan kemasukan Anggota Lembaga yang berpengalaman dari berbagai latar belakang, yang dinamik serta berdaya maju.
Bermula pada tahun 2005, Koperasi Iman telah mula menawarkan perkhidmatan Skim Pembiayaan Tunai kepada anggota-anggotanya. Aktiviti daripada skim ini telah memberi sumbangan yang utama kepada pendapatan koperasi Iman. Koperasi Iman juga memainkan peranan bermula daripada pemasaran, pemprosesan, kelulusan, kutipan bayaran balik dan susulan kredit. Pembiayaan ini digunakan untuk menyalurkan pembiayaan peribadi tunai kepada anggota-anggota koperasi.
Selain daripada perkhidmatan Skim Pembiayaan Tunai kepada anggota-anggotanya, Koperasi Iman menawarkan satu lagi perkhidmatan iaitu pembukaan bagi perniagaan Ar Rahnu X’Change. Kedai Ar Rahnu X’Change ini telah mula beroperasi pada 16hb Mei, 2008. Perniagaan Ar Rahnu ini merupakan satu perniagaan francaise di mana Rakyat Management Services Sdn Bhd (RMS) yang merupakan anak syarikat Bank Rakyat berperanan sebagai francaisor sementara Koperasi Iman sebagai Francaisi.
Sehingga kini, jumlah anggota Koperasi Iman telahpun melebihi 10,682 orang. Keanggotaan Koperasi ini terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat; terutamanya dari kalangan kakitangan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun dan GLC (Government Link Companies).
Koperasi Iman juga adalah ahli kepada ANGKASA (Badan Puncak Gerakan Koperasi) yang mengendalikan khidmat potongan gaji untuk kakitangan Kerajaan dan khidmat Latihan.
Bermula tahun 2024, Koperasi Iman telah melebarkan sayap perniagaan dengan menambah pelbagai perniagaan yang baru. Perniagaan tersebut adalah Wasiat, Hibah & Harta Pusaka serta sebuah Kedai Dobi Layan Diri.